Dalam kejayaan serbuan hasil risikan sejak sebulan lalu itu, menemukan sebanyak 116 ketulan mampat ganja dengan berat 115.6 kilogram, dianggarkan bernilai RM302,000, di dalam sebuah kereta yang diubah suai dan sebuah rumah.

Kejayaan tersebut juga adalah hasil kerjasama erat antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan Police Narcotics Suppression Bureau (PNSB), Thailand berikutan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk melalui negara jiran itu.

Menceritakan kejayaan itu, pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, warga emas yang disyaki ketua kumpulan dikenali ‘Geng Mail’ itu ditahan di rumahnya di Bukit Mertajam, dekat sini bersama-sama 26 ketulan ganja.

“Namun dua ahli sindiketnya yang merupakan seorang lelaki berusia 31 tahun dan wanita berusia 32 tahun dicekup terlebih dahulu berdekatan persimpangan lampu isyarat Tanjung Musang, Pokok Sena, di sini.

“Kedua-dua mereka yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Harrier ditahan bersama-sama 94 ketulan ganja yang disorokkan di bahagian bawah kenderaan terbabit yang telah diubah suai. Susulan itu, kita berjaya menahan dua lagi suspek masing-masing juga seorang lelaki dan wanita berusia 37 dan 32 tahun di Jalan Langgar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Kamarulzaman, secara keseluruhan, kesemua mereka ditahan sepasukan polis dalam serbuan bermula pukul 7 pagi hingga 1.40 petang dan kini direman selama seminggu sehingga 1 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati suspek warga emas positif dadah jenis ganja dan mempunyai beberapa rekod lampau manakala yang lain negatif ujian air kencing.

Katanya lagi, sekiranya dadah tersebut terlepas ke pasaran, ia boleh disalah gunakan kira-kira 115,600 penagih di negara ini termasuk di negeri-negeri di bahagian utara. - UTUSAN ONLINE