Malaysia

Ahmad Maslan gagal permohonan kali ke-2 batal pertuduhan

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat kenyataan palsu, tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Ahmad Maslan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada 2 pertuduhan jenayah.

Dua pertuduhan tersebut adalah gagal mengisytiharkan wang RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pesuruhjaya kehakiman Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dalam menolak permohonan ahli Parlimen Pontian itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.

“Oleh itu mahkamah menetapkan untuk tidak menggunakan kuasa bagi semakan terhadap keputusan mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen),” katanya.

Terdahulu, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad, 54, selaku pemohon berkata, alasan Mahkamah Sesyen bahawa permohonan anak guamnya adalah pramatang, adalah tidak tepat.

“Ini kerana permohonan boleh dimasukkan pada sebarang peringkat memandangkan kes telah dikemukakan. Sesiapa sahaja boleh membuat permohonan tersebut jika ia tidak berasas.

“Tujuan permohonan (semakan) kami adalah bagi mendapatkan kebenaran Yang Arif untuk memastikan sekiranya Mahkamah Sesyen melakukan kekhilafan.

“Dalam kes ini, tiada sebarang notis atau arahan dikeluarkan terhadap anak guam saya yang menyatakan kelewatan beliau dalam membuat pembayaran dan sebagainya,” kata peguam itu.

Timbalan pendakwa raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar berkata, pihak pendakwaan memfailkan bantahan terhadap permohonan semakan tersebut.

“Kami melihat permohonan untuk membuat semakan ini adalah tidak berasas kerana ia adalah penyalahgunaan proses kuasa,” katanya.

Pada 24 Julai lepas, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Ahmad untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi setiausaha agung Umno itu selepas berpuas hati permohonan tersebut adalah pramatang.

Mahkamah itu juga menetapkan tarikh perbicaraan kes pada 1 dan 2 Okt, 16 Okt, 23 Okt, 6 Nov dan 24 Dis depan, selain menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan kes.

Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri olehnya pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-2, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM, iaitu ketua penolong kanan penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini, antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Football news:

Steaua and Serbia's Backa Topola played 6:6 in the Europa League. For the first time in the history of European competitions, both teams scored 5+
B-36, Senderyuske and Kolos from the village of Kovalevka. These teams, unlike Dynamo, reached the next round of the Europa League
💥 A Europa League match in which everything seems crazy: the score is 6:6, a comeback with five, a winning penalty shootout from the debutant goalkeeper
Depay may move to Milan from Lyon as part of a Package deal
Rafael Benitez: The rivalry with Jose was good for the game. Liverpool were able to compete with Chelsea
Liverpool can play Arsenal, Tottenham can play Chelsea in the 4th round of the League Cup
Coach of Lokomotiv Tbilisi: the victory over Dynamo made Georgians proud of us