Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Bayi dipercayai dibunuh, ditenggelam bersama 1kg batu

Mayat bayi perempuan dipercayai dibunuh ditemui di Tanjung Batu Logpond, Tawau, semalam.

TAWAU: Mayat bayi perempuan bertali pusat ditemui dalam beg berisi batu di Tanjung Batu Logpond, semalam.

Mayat itu ditemui pada 4.43 petang dipercayai dibunuh memandangkan batu diisi dalam beg bertujuan menenggelamkannya.

Ketua Polis Tawau, Jasmin Husin berkata, mayat bayi itu ditemui seorang wanita bersama tunangnya, berhampiran sebuah jeti.

Katanya, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dan pegawai polis terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Hasil pemeriksaan awal, pasukan paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan yang ditemui adalah bayi seberat kira-kira 1kg.

“Turut ditemui di dalam beg berkenaan adalah seketul batu seberat lebih 1kg yang dibalut bersama bayi terbabit dipercayai untuk menenggelamkannya ke dasar laut,” katanya dalam kenyataan.

Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menularkan maklumat tidak sahih kepada umum kerana ia dibimbangi akan mengganggu siasatan polis.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan secara terus kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Tawau di talian 089 752222,” katanya.