Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Mohd. Yusof Mohd. Isa berkata, kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu juga mengakibatkan paip yang menyalurkan air mentah dari loji tersebut patah dan gagal berfungsi.

Katanya, antara kawasan yang terjejas adalah seluruh kawasan Trong, Changkat Jering, Bukit Gantang, Bukit Berapit, Changkat Ibol dan kawasan berhampiran.

“Pihak LAP telah mengambil langkah sewajarnya bagi membaik pulih kerosakan selain melakukan pengezonan semula dengan membekalkan air dari LRA Air Terjun kepada pengguna.

“Langkah itu membolehkan beberapa kawasan seperti Pekan Trong untuk kembali menerima bekalan air.

“Begitu pun, masih terdapat kira-kira 2,300 akaun pengguna yang mengalami gangguan bekalan melibatkan penduduk di kawasan Changkat Ibol, Bukit Gantang, Kampung Kubu dan Kampung Pauh,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, bekalan air ke kawasan tersebut dijangka akan kembali pulih dalam tempoh dua hari.

“Pihak LAP akan menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas dengan menggunakan lori-lori tangki sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.-UTUSAN ONLINE