Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pucuk pimpinan tertinggi dalam menentukan soal dasar parti.

Katanya, secara asas, UMNO dan Pas akan bersama sebagai pembangkang yang konstruktif dan efektif bukan sahaja dalam Parlimen, malah di luar Parlimen bagi memastikan berlakunya amalan semak dan seimbang terhadap setiap tindakan kerajaan.

"Dalam konteks di Kelantan, kita belum buat apa-apa rundingan atau mesyuarat dengan pihak Pas tetapi secara luaran, kerjasama yang diwujudkan adalah merupakan sebuah ikatan pembangkang untuk menegur kerajaan Pusat dalam isu-isu yang dipersetujui bersama.

"Selepas menghadiri muktamar Pas baru-baru ini, tidak bermakna kita sudah ada ikatan kukuh dengan Pas namun kita serah kepada Presiden untuk buat sebarang perkiraan dalam menentukan masa depan parti," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas bersama Biro Politik UMNO Kelantan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan mengakui akaun Badan Perhubungan UMNO negeri ini dan akaun beberapa UMNO bahagian termasuk Machang masih dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membolehkan dana politik parti itu disiasat.

"Soal kita sengaja ditekan atau tidak, terpulang kepada kerajaan yang ada hari ini untuk menyiasat dana politik kita namu saya yakin UMNO Kelantan tidak bersalah.

"Cuma saya nak jelaskan, mana ada parti politik yang tidak menggunakan dana politik. Kenapa hanya UMNO disiasat, bukankah parti lain juga wajib disiasat jika kita benar-benar mendaulatkan undang-undang?" katanya. - UTUSAN ONLINE