Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dan Pas harus diberi masa untuk mencari pelbagai titik persamaan untuk mengurangkan perbezaan demi kepentingan umum.

Katanya, kerjasama UMNO dan Pas adalah persefahaman politik yang masih baharu dan belum menjadi kerjasama formal yang bakal tumbuh serta kukuh mengikut kesesuaian masa.

“Banyak perkara yang masih boleh diperbaiki, diteruskan dan diolah demi kepentingan kedua-dua parti dalam menawarkan alternatif kepada Kerajaan PH.

“Tunjang utama kerjasama ini adalah daripada keikhlasan nurani, kesatuan niat dan amal semua pihak demi menjaga dan memakmurkan kepentingan bersama Melayu-Muslim yang dilihat kian tidak menentu dalam pemerintahan PH,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini. - UTUSAN ONLINE