Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Bon Odori: Komuniti Jepun terkejut kenyataan menteri PAS, kata bekas diplomat

Bon Odori lazim disambut di Shah Alam, yang mempunyai banyak kilang dan syarikat Jepun. Lembah Klang turut mempunyai komuniti Jepun yang besar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas diplomat berkata beliau diberitahu komuniti Jepun di Malaysia terkejut dengan kenyataan menteri PAS, Idris Ahmad, yang menasihatkan umat Islam tidak menyertai perayaan itu atas sebab agama.

Dennis Ignatius ketika dihubungi mendakwa kenyataan Idris menimbulkan kebimbangan di Jepun tentang “radikalisme agama” dan impaknya ke atas pelaburan Jepun di negara ini.

“Kebimbangan itu perlu diberi perhatian. Inilah yang akan berlaku bila bawa masuk PAS dalam kerajaan,” katanya kepada FMT.

Tidak lama selepas lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Jepun bulan lalu, Idris pada Isnin dilapor menasihatkan umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung 16 Julai ini, yang menurutnya mempunyai unsur keagamaan.

Bon Odori lazim disambut di Shah Alam, yang mempunyai banyak kilang dan syarikat Jepun. Lembah Klang turut mempunyai komuniti Jepun yang besar.

Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer berkata Bon Odori di Malaysia berbentuk komersial dan telah disesuaikan untuk masyarakat bukan Jepun, dan diraikan sejak lebih 30 tahun lalu.

Istana Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, Festival Bon Odori di Malaysia sejak berpuluh tahun “hanya perayaan kebudayaan” dan diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah antara rakyat tempatan dengan komuniti Jepun yang bermastautin di sini.

“Idris sepatutnya sedar akan akibatnya sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian,” kata bekas duta Malaysia ke Belanda, Noor Farida Mohd Ariffin, yang khuatir komen Idris mungkin beri kesan kepada hubungan antara kedua negara.

Bekas duta ke Argentina, M Santhananaban, pula percaya komen Idris tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua negara, mengatakan Tokyo tidak mahu terlibat dengan kontroversi itu.

“Hubungan dua hala kita kukuh dan berkekalan, dan agak neutral berkenaan agama,” katanya.