Serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan IPD Bachok itu dibuat pada 13 dan 14 Ogos dan suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 62 tahun.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asiaten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah rumah di Kampung Tok Buak, Tendong, Pasir Mas pukul 11.30 malam pada 13 Ogos lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan suspek warga emas berusia 62 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 22 dan 30 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori sayur serta merampas empat bungkusan heroin seberat 1.5 kg bernilai RM140,000 serta 400 botol lut sinar yang masih kosong.

"Bungkusan plastik berisi botol kosong bertudung kuning ditemukan di bahagian atas siling manakala dadah ditemukan dalam sebuah kereta Perodua MyVi biru. Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,886 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1998.

"Dua beradik berkenaan masing-masing ada rekod lampau berkaitan dadah. Mereka bertiga direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Beliau dalam pada itu memberitahu, serbuan kedua pula melibatkan penahanan tiga nelayan termasuk dua warganegara Kemboja berusia 30 hingga 34 tahun di sebuah bot di jeti Pengkalan Mega, Tok Bali, Pasir Puteh pukul 9 pagi kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan dalam bot menemukan sebanyak 1,000 biji disyaki pil kuda dan syabu seberat 17.57 gram dalam satu beg anggaran keseluruhan RM12,635.50.

"Semua suspek didapati positif dadah Methaphetamine dan seorang daripadanya penduduk tempatan mempunyai dua rekod lampau. Mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita juga merampas dan menyita sebuah Ford Ranger, kereta Suzuki Swift, motosikal dan dua topi keledar dengan nilai sitaan RM105,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988," katanya.

Abdullah berkata, serbuan ketiga pula membabitkan penahanan seorang lelaki berusia 29 tahun bersama 112 biji pil kuda bernilai RM1,680 di tepi jalan Kampung Bukit Temalong, Gunung, Bachok, pukul 2.20 petang kelmarin.

Katanya, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE