Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Dakwa kuliah Subuh menganggu, lelaki amuk di surau ditahan

Polis berkata, suspek memiliki dua rekod kesalahan dadah dan ugutan jenayah direman empat hari bermula hari ini hingga 12 Ogos.

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana mengamuk dalam surau selepas mendakwa kuliah Subuh terlalu bising hingga mengganggunya dalam kejadian di Ampang Campuran, dekat sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 34 tahun didakwa menyerbu masuk surau dan merampas mikrofon ketika penceramah sedang menyampaikan kuliah Subuh.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, sebaik merampas mikrofon, suspek menjerit dan menyatakan kuliah itu terlalu bising hingga mengganggunya.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengerusi surau berkenaan.

“Jemaah surau juga bertindak menghalangnya dan meminta dia meninggalkan surau terbabit dengan cara baik,” katanya di Facebook.

Farouk berkata, suspek bekerja sebagai penjaga stor kemudian berjaya ditahan di Jalan Ikan Emas Mesra, dekat Ampang, 7 petang semalam.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek memiliki dua rekod kesalahan dadah dan ugutan jenayah.

“Berikutan itu, suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 12 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956,” katanya.

Justeru, katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang perbuatan mengganggu yang boleh memecahkan keamanan masyarakat.