Dalam kejadian pada pukul 7.39 malam itu, mangsa, Abu Bakar Ahmad, 58, dan anaknya, Mohamad Khirulafifi, 26, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kemalangan berlaku semasa dua beranak itu sedang memeriksa keadaan lori tangki muatan susu getah dipandu Mohamad Khirulafifi yang rosak dan berada di lorong kecemasan.

Katanya, sebuah treler tanpa muatan yang dipandu lelaki berusia 29 tahun itu yang datang dari arah belakang kemudiannya merempuh belakang lori tangki dipandu Mohamad Khirulafifi seterusnya melanggar kedua beranak itu.

“Siasatan mendapati, lori tangki dipandu anak mangsa mengalami kerosakan dan bapanya yang turut memandu lori tangki muatan sama telah memberhentikan kenderannya di hadapan lori anaknya bagi memberi bantuan kepada lelaki itu.

“Bagaimanapun, semasa sedang memeriksa kerosakan tersebut, sebuah treler dari arah belakang melanggar lori tangki termasuk dua beranak itu sebelum kenderaan berkenaan terbabas ke besi pembahagi tengah lebuh raya,” katanya.

Utusan Online semalam melaporkan pemandu dua buah lori tangki masing-masing maut apabila kenderaan yang dipandu mereka terlibat dalam nahas membabitkan sebuah lagi lori treler. - UTUSAN ONLINE