Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

HFMD: 105 tabika, 75 taska kendalian Kemas ditutup

Ibu bapa dinasihatkan memastikan anak benar-benar sihat dan tidak mempunyai tanda jangkitan sebelum dihantar ke pusat jagaan atau bimbingan bagi mengelak penularan HFMD.

KUANTAN: Sebanyak 180 premis pendidikan awal dan pusat jagaan kanak-kanak kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditutup akibat jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) setakat semalam, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid.

Daripada jumlah itu, katanya, 105 premis adalah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) manakala bakinya adalah taman asuhan kanak-kanak (taska) yang terletak di seluruh negara, kecuali Negeri Sembilan dan Melaka.

“Tindakan menutup tabika dan taska dibuat berdasarkan nasihat serta saranan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kerana setiap kes yang dikesan akan dilaporkan kepada pihak berkenaan.

“Premis terlibat ditutup selama 10 hari dan tindakan sewajarnya termasuk kerja disinfeksi akan dilakukan pihak Kemas,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri bersama Warga Kemas Pahang di sini hari ini.

Mahdzir berkata, sepanjang tempoh penutupan itu, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilaksanakan, berdasarkan pengalaman semasa wabak Covid-19 melanda negara.

Beliau juga memberi jaminan bahawa Kemas sentiasa memantau perkembangan dan mengambil langkah proaktif untuk menangani penularan jangkitan penyakit itu di premis mereka berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM.

Antara langkah-langkah yang diambil adalah membuat saringan awal terhadap kanak-kanak yang dihantar setiap hari, termasuk mengambil suhu badan dan membuat pemeriksaan terhadap gejala jangkitan, seperti tanda ulser pada mulut dan lidah atau ruam di tangan dan kaki.

“Kita berharap ibu bapa juga dapat membantu mencegah penularan dengan memastikan anak-anak benar-benar sihat dan tidak mempunyai tanda jangkitan.

“Jika ada adik-beradik lain mempunyai gejala, mereka juga seharusnya tidak menghantar anak ke tabika atau taska sebagai pencegahan,” katanya.

Kemas mengendalikan 10,765 buah tabika dan 549 buah taska di seluruh negara.