Skuad Red Devils akan melayani kunjungan City di Olad Trafford dengan misi memburu tiga mata bagi merebut kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola bagaimanapun memerlukan tiga mata agar kekal berada di tangga teratas liga, mengatasi pencabar terdekatnya, Liverpool.

Kegagalan Citizens berbuat demikian akan menyukarkan mereka untuk mempertahankan kejuaraan.

Kebiasaannya, United akan menetap di Hotel Lowry menjelang pertembungan besar di Old Trafford, dan ada kalanya di Hilton Garden Inn di Laman Kriket Lancashire.

Mereka bagaimanapun membuat keputusan untuk menukar ke hotel lain bagi mengelakkan mereka berdepan kesesakan lalu lintas di bandar berkenaan, sekali gus memudahkan mereka untuk tiba ke venue perlawanan tepat pada masanya.

Menjelang pertenbungan besar itu, skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer menetap di Hotel Hilton di Deansgate untuk pertama kalinya.

Ini kerana hotel tersebut berdekatan dengan Chester Road, yang mana ia menuju terus ke Old Trafford.

United enggan lagi mengalami masalah sama menyaksikan Red Devils ketika dibimbing Jose Mourinho pernah terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas dalam dua perlawanan Liga Juara-Juara musim ini.- AGENSI