
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menunggu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat.
Jurucakap JAIS dipetik Berita Harian berkata, pihaknya menjangkakan waran tangkap itu akan diterima hari ini.
“Sebaik terima waran itu, kita akan usaha cari dan tangkap Sajat.
“Setakat ini, kita masih menunggu waran itu,” katanya dipetik akhbar itu.
Sementara itu, Sajat dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, beliau tidak hadir ke mahkamah semalam disebabkan masalah kesihatan.
“Saya tak sihat, muka dan anggota badan saya tiba-tiba menjadi bengkak akibat alahan makanan. Surat pengesahan doktor pun saya ada, kalau tidak percaya,” katanya dipetik akhbar itu.
Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal hadir dalam sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.
Sajat didakwa atas pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita.
Peguam syarie, Zuri Zaibuddin Budiman yang mewakili Sajat berkata, kes itu ditangguh ke 1 Jun depan.
Dalam prosiding 6 Jan lalu, usahawan itu yang didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.