Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Zaini Hussin berkata, dua mangsa terbaharu merupakan pesakit perempuan berusia 11 dan 26 tahun yang pada awalnya dikesan mempunyai simptom sama seperti pesakit lain.

Kata beliau, dua pesakit terbabit dikesan mengalami demam tersebut sejak semalam sebelum dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk menerima rawatan lanjut dan setakat ini, keadaan kedua-duanya dilaporkan stabil.

“Secara keseluruhan, sehingga pukul 12 tengah malam 19 Jun 2019, jumlah kes meningkat kepada 115 kes berbanding 113 kes pada kelmarin,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu memberitahu, sebanyak 47 pesakit masih dirawat di wad dengan dua daripada mereka masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai.

Sementara itu katanya, jumlah Orang Asli suku kaum Bateq dibenarkan keluar dari hospital yang ditempatkan di Rumah Inap Komuniti Asli (RIKA) adalah seramai 12 orang.

“Bekas pesakit yang ditempatkan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani pula seramai 14 orang manakala satu kes lagi ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi,” katanya.

Setakat ini, jumlah kematian akibat penularan penyakit itu kekal 15 orang dengan yang terbaharu melibatkan kanak-kanak berusia tiga yang meninggal dunia selepas lapan hari dirawat di ICU Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). - UTUSAN ONLINE