Wakil PBJ, Kamarudin Mohamad berkata, pihaknya mahu EGM itu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan persatuan tersebut mendapat kesan yang lebih parah.

"EGM perlu diadakan dengan segera oleh kerana presiden telah mengumumkan meletak jawatan, begitu juga dengan Bibi Ramjani Ilias Khan kami mahu beliau menyerahkan surat peletakan jawatan secepat mungkin.

"Selewat-lewatnya EGM tersebut perlu dilakukan dalam tempoh 21 hari selepas memorandum desakan dihantar hari ini kepada KAFA oleh PBJ," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada KAFA di wisma persatuan terbabit di sini, hari ini.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Eksekutif KAFA Ariff Hassan.

Sebelum ini, Bibi Ramjani telah mengumumkan peletakan jawatan presiden pada dua hari lepas dan beliau akan menghantar surat rasmi peletakan jawatan itu kepada KAFA dalam masa terdekat.

Kamarudin yang juga Yang Dipertua PBJ Tanah Merah berkata pihaknya telah mempunyai senarai calon presiden untuk diangkat pada EGM bagi menggantikan Bibi Ramjani.

"Calon sudah ada dan mereka telah bersetuju untuk dicalonkan namun tidak baik kita umumkan sekarang senarai calon-calon terbabit.

"Kami mahu barisan exco KAFA yang sedia ada mengambil serius desakan ini," katanya.

Katanya pihaknya turut mohon maaf atas kesilapan milih presiden dan barisan exco sedia ada sebelum ini sehingga memberikan kesan tidak menyenangkan kepada KAFA dan pasukan Kelantan.

"Sebelum ini kami percaya dengan janji oleh presiden memandangkan persatuan dan pasukan berada dalam situasi meruncingkan," katanya.- BERNAMA