Mohamad Faizal Hashim

JOHOR BAHRU 25 Mei - Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi di Susur Larkin Perdana 2, Taman Larkin Perdana, di sini hari ini.

bomba
 

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai bermain bersama-sama rakan lain dalam kedai tersebut sebelum masuk sendiri ke dalam mesin basuh tersebut dan rakannya bertindak menutup penutup mesin berkenaan.

Pegawai operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Kamil Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.38 petang sebelum menggerakkan lapan anggota bersama sebuah jentera satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin ke lokasi kejadian.

“Pasukan Bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan penyelamat (rescue tool) dengan memotong kunci pada penutup mesin basuh tersebut. Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira tiga minit kemudian.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Tiada maklumat mangsa yang diperolehi dan kanak-kanak itu yang masih dalam keadaan trauma dan terus berlari balik ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Kamil berkata, operasi mengeluarkan mangsa terperangkap itu ditamatkan pada pukul 4.55 petang. - UTUSAN ONLINE