Pengarah Kastam negeri, Datuk Johari Alifiah berkata, tiga daripada kumpulan syif tersebut akan bertugas setiap lapan jam secara secara giliran dengan satu lagi kumpulan akan diberikan cuti pada setiap hari.

“Mereka akan melakukan tugas-tugas seperti menjalankan pemeriksaan dan mengawal laluan kenderaan berat dan kargo secara giliran, ini bermakna pada setiap hari terdapat tiga kumpulan bekerja diikuti satu kumpulan bercuti dan begitulah seterusnya.

“Dari segi penambahan pegawai dan anggota kita akan melihat dahulu keperluan dari semasa ke masa kerana kita juga memerlukan data harian untuk melihat keberkesanan dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Aidilfitri Kastam Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau mengulas pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand bagi laluan kenderaan berat dan kargo secara 24 jam yang bermula hari ini melalui tempoh percubaan selama tiga bulan sehingga 17 September ini.

Pelancaran tersebut dilakukan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Penasihat kepada Menteri Luar Thailand, Chaisiri Anaman di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, semalam.

Dalam pada itu, Johari berkata, beliau tidak boleh mendedahkan secara terperinci berkaitan langkah-langkah tertentu untuk mengekang aktiviti penyeludupan memandangkan ia adalah strategi Kastam untuk menangani perkara itu.

“Kita juga tidak boleh menyenaraikan secara terperinci mengenai jumlah pegawai, anggota dan sebagainya kerana itu pula melibatkan kekuatan dalaman.

“Namun, secara asas saya boleh katakan kita memerlukan pasukan yang memiliki kemahiran dan sikap bertanggungjawab mereka ketika melaksanakan tugas yang ditetapkan,” katanya.

Johari pada masa sama turut mengingatkan pihak yang terlibat dalam proses import eksport yang berurusan di sempadan negara agar mematuhi undang-undang sedia ada. - UTUSAN ONLINE