Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kebajikan veteran libatkan dana negara, pelbagai kementerian, kata Hishammuddin

Hishammuddin Hussein berkata, kementerian menghargai pengorbanan veteran ATM dan berusaha untuk memenuhi tuntutan mereka. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tuntutan berhubung isu kebajikan serta bantuan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak hanya melibatkan kuasa Kementerian Pertahanan sebaliknya turut membabitkan kementerian lain kerana ia berkait rapat dengan soal dana negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, bagaimanapun Kementerian Pertahanan sentiasa menghargai perjuangan dan pengorbanan veteran ATM, malah sentiasa berusaha untuk memenuhi tuntutan kumpulan itu.

“Saya harap semua pihak kena faham bahawa ini (soal peruntukan bantuan kepada veteran) tidak berkisar kepada apa yang kita lakukan di kementerian kerana ia juga melibatkan peruntukan dana negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Apa yang boleh kita umumkan kita umum dahulu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pra Pelancaran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) di Auditorium Wisma Pertahanan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas himpunan “Reunion Veteran 2022” di Taman Tugu Negara, Isnin lalu yang membabitkan veteran ATM.

Beliau berkata, pihaknya melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sentiasa terbuka untuk berunding dan mendengar setiap aduan yang dibangkitkan veteran ATM.

“Untuk peringkat awal, saya minta timbalan menteri melihat isu veteran kita sama ada secara peribadi atau langsung kepada agenda veteran.

“Kita tidak akan meminggirkan dan menidakkan usaha kita selama ini untuk sentiasa memberi pembelaan dan melihat kepada kedudukan veteran,” katanya selain memaklumkan bahawa terdapat seramai 300,000 veteran ATM.

Hishammuddin berkata, kementerian akan melaksanakan dua perkara, iaitu pembayaran pencen terbitan kepada balu dan penubuhan panel penasihat.

“Jadi ini perkara-perkara yang sentiasa dalam radar kita dan bila kita dah selesaikannya kita akan umumkan. Saya tahu apa jua kita umumkan tiang gol ini akan berubah-ubah, tak boleh memuaskan hati semua pihak.

“Mana yang kita dah boleh buat dan telah pun diusahakan oleh kementerian, kita akan umumkan seperti saya umumkan hari ini,” katanya.