Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kes laporan audit 1MDB: Permohonan jadikan Arul Kanda saksi dijangka curi perhatian

Pihak pendakwaan mahu bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy memberi keterangan terhadap Najib Razak dalam perbicaraan meminda laporan audit syarikat itu.

PETALING JAYA: Permohonan untuk tertuduh menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri, Najib Razak didakwa meminda laporan audit 1MDB yang dijadualkan didengar esok dijangka mencuri perhatian ramai.

Permohonan itu, yang akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Zaini Mazlan, bakal menentukan sama ada bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, yang turut didakwa dalam kes itu, boleh dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Arul Kanda sendiri tidak bersetuju memberi keterangan bagi pihak pendakwaan terhadap Najib.

Berbeza dengan Rizal Mansor dan Tan Eng Boon yang dilepaskan pihak pendakwaan sebelum memberi keterangan dalam kes Rosmah Mansor serta Tengku Adnan Mansor, Arul Kanda kekal sebagai tertuduh atas dakwaan membantu dan bersubahat dengan Najib dalam perbicaraan meminda laporan audit 1MDB.

Pada 20 Mei lalu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk Arul Kanda memberi keterangan terhadap Najib.

Seksyen 63 menyatakan apabila dua atau lebih orang didakwa atas suatu kesalahan di bawah akta berkenaan, mahkamah berdasarkan permohonan pendakwa raya, boleh mengarahkan mana-mana tertuduh terbabit memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu, cuba mewajarkan permohonan itu dengan berkata, Arul Kanda mempunyai maklumat penting yang boleh mempengaruhi keputusan kes pendakwaan terhadap Najib.

Peguam utama Najib, Shafee Abdullah membantah permohonan itu atas alasan prejudis terhadap anak guamnya.

Seksyen 63, yang berasal daripada Kanun Prosedur Jenayah India 1898, pada asalnya dimasukkan ke dalam undang-undang Malaysia melalui Seksyen 19 Akta Pencegahan Rasuah 1961.

Pakar undang-undang memberitahu FMT, peruntukan itu hanya pernah digunakan dua kali – pada awal 1970-an di bawah undang-undang 1961 yang sudah dimansuhkan.

Sebelum membuat keputusan, Zaini perlu berdepan beberapa soalan penting, termasuk sama ada seseorang tertuduh boleh dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, sama ada dia boleh diarahkan memberi keterangan terhadap individu yang dituduh bersamanya, dan sama ada dia boleh diarahkan berbuat demikian atas risiko menunjukkan dirinya bersalah.

Tidak kira apa keputusannya, ia bakal direkodkan dalam sejarah undang-undang moden.