Oleh MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI

KUALA LUMPUR 25 Mei - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) percaya selepas penganjuran kali pertama Liga Futsal Malaysia (MFL) bakal menjadi penanda aras untuk membawa kejohanan itu sebaris Liga Malaysia.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau percaya permulaan kali pertama ini mampu memberi impak positif sekali gus selari dengan pelan hala tuju F30.

“Untuk tahun pertama mungkin sesetengah pasukan mengambil keputusan melihat terlebih dahulu perjalanan liga. Saya percaya tahun kedua, lebih banyak pasukan yang akan menyertai kejohanan ini.

“Kita mahu menjadikan liga futsal ini seperti acara bola sepak dalam Liga Malaysia. Liga kali ini dianjurkan mendapat pengiktirafan AFC berbeza dengan liga futsal kebangsaan sebelum ini yang dianjurkan secara karnival,” katanya selepas majlis pelancaran trofi Liga Futsal Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kejohanan yang bakal berlangsung pada 22 Jun nanti, sembilan pasukan futsal lelaki terdiri daripada Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang, KL City, Kuala Lumpur, Terengganu dan Melaka merebut piala MFL.

Sementara itu, pasukan wanita hanya disertai Selangor, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur, namun, format pertandingan mereka berbeza dengan pasukan lelaki.

Dalam perkembangan lain, terdapat enam nama yang dicalon kepada FAM iaitu Datuk Kamarul Ariffin Shahar, Khamal Idris Ali, Hairul Anwar Mohamed Noor, Syed Yazid Syed Omar, Marzuki Sulung dan

Dr. Amar Pritbal Abdullah bagi menggantikan kekosongan jawatan exco yang ditinggalkan Subkhiddin Mohd Salleh.

“Kita telah menerima enam percalonan bagi mengisi kekosongan selaku exco yang ditinggalkan Subkhiddin. Calon akan dimaklumkan perkara itu dan sekiranya mereka tidak menerima, maka, mereka berhak untuk menolaknya sebelum kongres pada 13 Julai ini berlangsung,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE