Ketua Eksekutif LRTSB, Che Ku Hafeez Che Ku Denang berkata, di bawah peruntukan itu, seramai 118 keluarga dari golongan asnaf menerima wang tunai RM200 melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing.

“Antara MPKK terlibat ialah MPKK Peringkat 1 Bandar Cheneh Baharu, Peringkat 2 Bandar Cheneh Baharu, Peringkat 4 Bandar Cheneh Baharu, Felda Neram 2, Jenang Baru dan Cerul.

“Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri merangkap Pengerusi LRTSB, Satiful Bahri Mamat sempena majlis berbuka puasa bersama golongan asnaf di pekarangan Pejabat LRTSB dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim dan Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran LRTSB, Mohd. Suhaimi Hassan.

Menurut Che Ku Hafeez, bagi 464 anak yatim, mereka akan menerima sumbangan tersebut melalui Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru, SK Cheneh Baru 2, SK Felda Cerul, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh Baru, SMK Seri Cheneh dan SMK Cerul.

“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang termasuk di dalam agenda tahunan LRTSB,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ujarnya, menjadi harapan LRTSB agar golongan itu juga sama-sama menyambut Aidilfitri dalam suasana meriah sepertimana orang lain. - UTUSAN ONLINE