Dua hari selepas mengejutkan juara empat kali, Australia 3-0, anak-anak buah Brad Maloney tumpas kepada juara lima kali, Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, namun meneruskan kemaraan ke peringkat empat terbaik ekoran kekalahan mengejut 1-2 tuan rumah, Vietnam kepada Kemboja.

Dalam perlawanan itu, Firdaus yang juga kapten Malaysia B-18 melakukan kesilapan dengan meluru keluar untuk menghalang Sitthinan Rungrueang, namun tindakannya mengundang padang apabila Sitthinan berjaya melepask halangan sebelum merembat bola untuk gol kemenangan Thailand.

“Saya bersyukur kami berjaya layak ke separuh akhir. Maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kesilapan yang saya lakukan.

“Benda macam ni saya letak dalam diri saya. Semua orang buat silap. Cepat atau lambat saja bangkit dari kesilapan.

“Sebagai ketua pasukan, saya ambil tanggungjawab ini, saya minta maaf kepada semua, saya janji tak buat lagi. Saya akan bangkit dengan lebih kuat,” katanya dalam Facebook Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Turun sebagai juara bertahan, Malaysia akan menentang Indonesia di Stadium Go Dau, Thu Dau Mot pada pukul 5 petang esok. - UTUSAN ONLINE