Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

‘Nasihat presiden kamu henti desak PM segerakan PRU’, PAS beritahu ahli Umno

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi perlu berhenti seketika berpolitik dan bersama membantu kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno wajar menasihati presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi, yang seringkali memberikan tekanan kepada perdana menteri untuk menyegerakan pilihan raya umum, kata Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam.

Beliau juga meminta Zahid berhenti seketika berpolitik, sebaliknya bersama membantu kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

“PAS menggesa presiden Umno supaya berhenti seketika daripada ‘berpolitiking’ kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.

“Beliau seharusnya berikan fokus menggerakkan jentera Umno untuk bersama dengan perdana menteri dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat, terutama aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, masalah utama didepani negara ketika ini merupakan masalah ekonomi berhubung peningkatan inflasi yang semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, bukan isu parti mana yang perlu dominan dalam kerajaan.

“Sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, presiden Umno haruslah berjiwa besar bersama kerajaan untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairil berkata, PAS mahu supaya sokongan tidak bersyarat diberikan kepada Ismail bagi memulihkan negara dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Sepertimana presiden Umno mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan Umno, begitulah juga hasrat kerajaan hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi,” katanya dipetik Bernama.