Malaysia

Nelayan Kg Makam tunggu musim hujan, rezeki udang galah

Gambar Bernama

Tidak semua nelayan akan putus rezeki apabila tiba musim angin kencang dan hujan lebat.

Masih ada sumber pendapatan lain bagi golongan nelayan di Kampung Makam di sini, yang terletak kira-kira 40km dari Johor Bahru.

Walaupun Kampung Makam bukanlah nama yang dikenali umum, namun kampung yang terletak di tengah-tengah pekan Kota Tinggi itu sebenarnya adalah destinasi memancing yang menyimpan ‘khazanahnya’ yang tersendiri.

Merupakan salah satu laluan aliran Sungai Johor dan menjadi penempatan masyarakat nelayan, Kampung Makam sebenarnya menjadi tumpuan kaki pancing kerana terdapatnya udang galah sepit biru di situ.

Justeru, kampung itu juga menjadi tumpuan golongan nelayan setiap kali tibanya bulan September, iaitu ketika berlakunya peralihan dari Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut yang membawa angin kencang dan hujan lebat di seluruh negara.

Terdapat beberapa perkampungan nelayan lain berdekatan di mana hampir setiap daripadanya mempunyai jeti masing-masing.

Mengenal jantan betina

Udang galah sepit biru atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii adalah spesies hidupan akuatik air tawar yang mudah ditemui di kawasan-kawasan sungai di Malaysia.

Semestinya, udang itu mendapat namanya daripada warna sepit yang biru – yang merupakan penentu kepada usia dan jantina udang jenis itu.

Sepit biru jantan ditentukan berdasarkan bentuk luarannya termasuk mempunyai kepala yang besar, abdomen yang panjang dan sepit yang panjang dan tebal manakala sepit biru betina pula lebih kecil, dan mempunyai telur di bawah perut sama ada berwarna oren, coklat ataupun hitam.

Pengerusi Kumpulan Kecil Nelayan Kampung Makam Abd Rahim Sampir, 68, berkata Sungai Johor merupakan nadi utama yang menghidupkan kampung-kampung di kawasan berkenaan berikutan sumber alam yang dimilikinya itu sejak dahulu lagi.

Cuaca pada bulan September, tambah beliau, sememangnya ditunggu-tunggu oleh nelayan dan kaki pancing kerana terdapat banyak udang galah pada musim peralihan monsun dan musim hujan ini.

“Nelayan laut pun tidak akan turun ke laut kalau musim hujan, jadi mereka mencari pendapatan dengan memancing udang galah.

“Pada musim ini terdapat banyak udang galah dan kadang kala, seseorang nelayan boleh menjana pendapatan sehingga RM200 sehari,” kata beliau kepada Bernama, baru-baru ini.

Udang masih hidup

Menurut beliau, harga udang galah sepit biru di pasaran Johor Bahru adalah kira-kira RM100 sekilogram, manakala yang bersaiz kecil pula RM70 sekilogram. Biasanya nelayan di situ akan menjualnya kepada peraih yang kemudian menjualnya kepada pelanggan.

Kebanyakan pelanggan sama ada individu atau restoran lebih gemar membeli udang yang masih hidup bagi menjamin kesegaran dan keenakannya apabila di masak.

Abd Rahim berkata kebiasaannya, nelayan akan menyimpan udang sepit biru di dalam kolam atau akuarium bagi memastikan udang itu kekal hidup.

“Sepit biru di daerah ini memang berbeza berbanding yang terdapat di tempat lain. Pertama dari segi saiznya yang besar-besar, kedua dari segi kuantiti dan ketiga isinya yang tebal,” jelasnya.

Dalam usaha mempromosikan keunikan Kampung Makam, Kumpulan Kecil Nelayan Kampung Makam baru-baru ini menganjurkan pertandingan memancing udang galah sepit biru.

Pertandingan yang dinamakan Cabaran Sepit Biru – dianjurkan, sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke 61 itu – disertai lebih 70 nelayan dan kaki pancing dari Kampung Makam dan kampung-kampung berdekatan.

Potensi ekopelancongan

Salah seorang peserta Md Azwira Abd Rahman, 48, berkata pertandingan itu merupakan cara terbaik bagi mencungkil potensi Kampung Makam untuk dibangunkan sebagai salah satu lokasi eko-pelancongan di negeri Johor.

“Sungai Johor berhampiran Kampung Makam ini memang menjadi lubuk sepit biru sejak dahulu lagi dan hasil udang di sini juga lumayan, jadi kalau kerajaan negeri ada perancangan untuk menambah produk-produk pelancongan baharu, ini salah satu lokasi contoh,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama Rosleli Jahari berkata Kampung Makam mempunyai banyak potensi pembangunan dari segi sejarah kawasan berkenaan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kawasan pentadbiran Kerajaan Johor Lama.

“Ini merupakan kawasan pertama yang dibuka oleh Kesultanan Johor Lama untuk membentuk kerajaan dan memerintah. Ia mempunyai banyak peninggalan sejarah seperti Makam Sultan Mahmud Shah dan bangunan-bangunan pentadbiran Johor Lama.

“Kita mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan ini sebagai santuari kunang-kunang dengan menanam semua pokok-pokok berembang di kawasan ini,” katanya ketika hadir merasmikan pertandingan itu.

Tambahnya, pihaknya juga mencadangkan perkhidmatan sewa bot nelayan untuk menyediakan perkhidmatan membawa pelancong menyusuri sungai Johor bagi menikmati pemandangan di kawasan berkenaan.

Football news:

Sarri Pro 2:2 with Atalanta: We played with one of the best teams in Europe right now
Pep Guardiola: Manchester City have won a place in the Champions League on the pitch. I hope that UEFA will allow us to play
Atalanta extended their unbeaten streak to 14 games and is ranked 3rd in Serie A
Ronaldo scored his 27th goal in Serie A, converting a penalty in the game against Atalanta. Immobile has 29 balls
Sterling scored 27 goals for the season and broke his record. He scored a hat-trick against Brighton
Three Atalanta players have scored 15+ goals in the Serie A season. This is the best result since 1952
Setien on the title fight: Barcelona does everything possible, but Real Madrid wins all the matches