Muhammad Baihaqi Adam Mahadi, 16, dari Taman Teja Murni Binjai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di perut.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, nahas berlaku pukul 5.40 petang ketika mangsa bersama rakannya, Wan Muhammad Firdaus Wan Mohd. Taib, 16, dalam perjalanan dari arah Chukai menghala ke Binjai.

Katanya, setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dikatakan gagal mengelak lori terbabit yang hendak masuk ke simpang menyebabkannya mangsa dan rakannya terjatuh di atas jalan.

Katanya, Muhammad Baihaqi terjatuh ke sebelah kanan lori sebelum digilis tayar kenderaan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di perut.

Manakala rakan mangsa yang terjatuh sebelah kiri lori berkenaan tidak cedera.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE