Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Perjelas isu balak di Hutan Simpan Nenggiri, kerajaan Kelantan diberitahu

Husam Musa berkata pembalakan di Hutan Simpan Kekal Nenggiri, Gua Musang membabitkan penebangan pokok Merbau bernilai RM4,000 sebatang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan PAS Kelantan perlu segera bertindak berhubung laporan pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang, yang didakwa dilakukan anak syarikat milik kerajaan negeri, kata bekas naib presiden Amanah Husam Musa.

Husam yang juga bekas pemimpin PAS berkata, Jabatan Perhutanan negeri juga sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan pembalakan itu pada 2 Jun.

“Isu ini dibangkitkan dua minggu lalu, namun belum ada tindakan jelas dilaksanakan kerajaan negeri sehingga hari ini walaupun syarikat yang dikatakan terbabit dalam dakwaan pembalakan itu adalah anak syarikat milik kerajaan negeri,” katanya kepada FMT.

Husam berkata, kawasan hutan terjejas membabitkan keluasan 292ha, yang digazetkan sebagai hutan dara mengikut Akta Hutan Negara 1984.

“Ia tidak sepatutnya disentuh atau diganggu sama sekali. Ia sepatutnya dilindungi sepenuhnya,” katanya. “Namun, kerajaan Kelantan meluluskan pembersihan di kawasan berkenaan.”

Katanya, Jabatan Perhutanan negeri menemui aktiviti pembalakan haram di beberapa kawasan dalam kawasan hutan simpan terbabit.

Husam berkata, kebanyakan kayu yang diambil membabitkan merbau bernilai RM4,000 sebatang. Beliau menganggarkan aktiviti pembalakan haram menjana keuntungan RM7 juta.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri segera memberikan penjelasan sebenar susulan ia membabitkan isu persekitaran yang sangat membimbangkan.