Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, Bukit Aman, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan berkata, saki baki kumpulan berkenaan masih wujud dan tindakan berterusan akan terus digerakkan.

Menurutnya, sehingga kini PDRM mengesan kumpulan yang terlibat dengan Abu Sayyaf namun dalam aspek kewaspadaan terhadap keamanan negara, tidak menolak kemungkinan wujudnya beberapa kumpulan lain.

"Mereka ini ada di setiap negeri tapi hanya dalam kumpulan yang kecil. Mereka ramai tetapi hanya segelintir sahaja yang aktif.

Farid Abu Hassan (depan, tiga kanan) meninjau kelengkapan di bahagian dalam Balai Polis Selising
Farid Abu Hassan (depan, tiga kanan) meninjau kelengkapan di bahagian dalam Balai Polis Selising, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.

"Penyaluran dana untuk kumpulan ini dikenal pasti dalam pelbagai bentuk. Tidak semestinya mereka menggunakan sistem perbankan atau kewangan negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Balai Polis Selising, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhamad.

Mohamed Farid berkata, polis tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan negara dan akan menahan rakyat Malaysia, Akel Zainal yang dikatakan menerima dana untuk melakukan aktiviti keganasan.

"Jika terdapat bukti, kita akan tangkap, tindakan ini bukan dari polis sahaja tetapi Jabatan Peguam Negara juga," katanya. - UTUSAN ONLINE