Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Polis panggil 6 individu babit himpunan pesara tentera

Menurut polis, keenam-enam individu tersebut telah memberi keterangan semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Enam individu telah memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan secara aman yang dilancarkan ratusan pesara tentera dari seluruh negara yang berkumpul di Tugu Negara pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata keenam-enam individu yang dikenal pasti itu telah hadir semalam bagi memberi keterangan.

Tambahnya, polis sedang mengesan beberapa individu lain yang menyertai himpunan itu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman,” katanya kepada FMT.

Seksyen 9 Akta itu mewajibkan penganjur untuk memaklumkan polis daerah kawasan terbabit sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.

Di bawah Seksyen 9(5), mereka yang gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Semalam, kira-kira 500 pesara tentera berkumpul di Tugu Negara bagi menuntut semakan semula kadar pencen seperti yang diselaraskan sebelum 2013, serta hak untuk menerima pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun.

Pada masa ini, hanya anggota tentera yang berkhidmat selama 21 tahun mendapat pencen bulanan.

Para pesara tentera berkata mereka tiada pilihan lain selain berhimpun secara aman selepas cubaan menyuarakan rungutan mereka mengenai isu pencen menerusi saluran yang betul selama lapan tahun.

Kumpulan itu mendakwa bahawa kira-kira 330,000 pesara tentera telah dilucutkan hak mereka, dengan hampir 135,000 daripada mereka yang tidak layak menerima bayaran pencen.