Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini, sebanyak lebih 1,000 anggota telah dikerahkan bertugas di sana.

Ujarnya, arahan khusus telah diberikan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah dan Ketua Polis Daerah di kawasan itu mengenai perkara ini.

“Berikutan situasi keselamatan di bahagian Timur Sabah yang agak tegang perlu diberikan pertimbangan untuk meningkatkan kawalan anggota sepanjang PRK itu berlangsung.

“Sehubungan itu, kita akan tambah kekuatan jika diperlukan agar keadaan di sana selamat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis Ke-212, di Hospital Selayang di sini hari ini.

Ditanya sama ada pihaknya akan membawa anggota dari Semenanjung untuk membantu tugasan di sana, Mohamad Fuzi memberitahu, tiada keperluan setakat ini.

“Setakat ini, kita tidak bercadang untuk bawa keanggotaan dari sini atas faktor menjimatkan kos selain isu-isu keselamatan di Selatan Filipina,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE