Perintah reman kedua-dua suspek itu sehingga 26 dan 22 November ini dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah semasa pasangan berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.

Suspek berusia 31 tahun itu dan isterinya, 20, direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 12 November lalu, suspek ditahan di Hospital Kajang pada pukul 11 pagi semasa melawat isterinya yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selepas melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah inap desa di Hulu Langat.

Susulan daripada itu, pasangan suami isteri terbabit ditangkap manakala bayi mereka pula akan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut pada 9 November lalu dipercayai akibat didera.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas 30 minit dihantar ke Hospital Ampang oleh bapa tiri serta ibu kandungnya.

Laporan polis dibuat selepas mendapati terdapat beberapa kesan luka dan lebam di muka, perut, dada dan bahagian belakang mangsa.

Susulan itu, bapa tiri serta ibu kandung kanak-kanak berkenaan kemudian melarikan diri dan diburu polis. - UTUSAN ONLINE