Rosmadi yang merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan, beliau perlu berbincang terlebih dahulu dengan ahli keluarganya selain mendapatkan pandangan pihak lain sebelum merebut kerusi berkenaan yang kini kosong susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandang Bibi Ramjani Ilias Khan, baru-baru ini.

“Kita kena serahkan pada sistem iaitu PBJ (Persatuan Bola Sepak Jajahan) yang mempunyai hak yang difikirkan sesuai untuk mengemudi KAFA.

“Kita tengok kepada (keputusan) PBJ ingin mencalonkan siapa, mungkin di pihak PBJ mereka mempunyai pandangan calon-calon yang sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan penajaan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berharap proses pemilihan Presiden baharu KAFA dapat dijalankan secepat mungkin terutamanya dalam menjaga kebajikan pemain skuad ‘The Red Warriors’ yang sedang beraksi dalam Liga Premier ketika ini.

“Perbelanjaan mengendalikan sesebuah pasukan amat besar, jadi kalau tiada Presiden pada masa sekarang, ia tidak sesuai.

“Saya sebagai orang Kelantan, amat sayangkan bola sepak Kelantan.Saya hanya mampu berdoa pada ketika ini proses penggantian Presiden KAFA dapat berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rosmadi berpandangan terdapat beberapa individu lain di negeri berkenaan yang terlibat dalam politik yang mampu mengisi kerusi berkenaan.

Tanpa menamakan individu berkenaan, beliau yakin mereka mampu melakukan transformasi dalam bola sepak Kelantan yang berdepan pelbagai masalah termasuk isu tunggakan gaji pemain yang membelenggu skuad ‘The Red Warriors’ selama ini.

Bibi Ramjani baru-baru ini mengumumkan peletakan jawatannya selaku Presiden KAFA menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Beliau yang merupakan pengusaha batik di negeri Kelantan dipilih sebagai Presiden KAFA bagi penggal 2017 hingga 2021 pada 17 September 2017 sempena Kongres Tahunan KAFA Ke-63, setelah menewaskan seorang lagi calon yang juga bekas naib presiden, Datuk Mohamad Nasir Hamzah.

Rosmadi turut bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden KAFA pada Kongres berkenaan, namun tewas kepada Datuk Seri Afandi Hamzah. - BERNAMA