Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya baharu dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan akan berhubung dengan Pengarah Kesihatan Negeri bagi mengetahui situasi semasa.

“Berdasarkan maklumat awal daripada simptom dialami murid seperti muntah dan sesak nafas, kemungkinan besar berpunca dari pencemaran gas organik, sama seperti kes Sungai Kim Kim,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ditanya sama ada kementerian akan mengeluarkan arahan kepada sekolah berkenaan ditutup, beliau berkata ia masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

“Setakat ini situasi masih terkawal, apapun kita akan pantau dan lihat situasi ini bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk menentukan punca dan tahap pencemaran udara yang berlaku,” katanya.

Sebanyak 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, mengalami simptom sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang tadi, dipercayai akibat pencemaran udara.

Pemeriksaan awal mendapati berlaku pencemaran udara dengan 15 murid mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas. - UTUSAN ONLINE