KUALA NERUS 25 Mei - Ibu kepada wanita hamil yang maut dalam kemalangan dua kenderaan berhampiran Kampung Pakoh Jaya pagi tadi rebah sekali lagi ketika bacaan talkin di Tanah Perkuburan Kampung Padang Nenas di sini malam ini.

Saripah Mohd., 53, yang lemah kerana menahan sebak terpaksa dipimpin ahli keluarganya semasa menyiram air di pusara anaknya, Siti Nur Shahila Asla, 26, dan menantunya, Hafiiz Mohd. Ibrahim, 29.

Terdahulu, Saripah yang tidak dapat mengawal perasaannya rebah sebaik tiba di pekarangan Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu kira-kira pukul 1.17 petang ini.

Jenazah Siti Nur Shahila dan Hafiiz Mohd. yang maut ketika dalam perjalanan pulang dari Felda Chiku 5 di Gua Musang, Kelantan itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 9.15 malam ini.

Pasangan itu disembahyangkan di masjid Kampung Padang Nenas selepas solat Maghrib.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri lebih 200 ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung.

Sementara itu, di Dungun, jenazah pasangan suami isteri, Anuar Said, 57, dan Kasliza @ Che Kasliza Che Husin, 53, turut dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Sura Tengah kira-kira pukul 9 malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, kesemua mangsa maut di lokasi kejadian selepas kereta mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya.

Nahas tersebut turut menyebabkan anak bongsu Anuar, Nurul Nadirah, 13, cedera di bahagian muka dan kaki dengan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Habis