Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian serangan tidak mempunyai kaitan dengan pembabitan warga Malaysia.

“Kita ada terima dakwaan mengatakan serangan itu ada membabitkan warga kita.

“Tapi siasatan awal mendapati tidak mempunyai sebarang tanda-tanda pembabitan rakyat kita dengan insiden itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, beliau telah memberi arahan kepada ketua polis negeri untuk mempertingkatkan keselamatan di setiap negeri walaupun kejadian itu berlaku di luar negara.

Katanya, langkah-langkah keselamatan turut diperketatkan termasuk di Kedutaan Sri Lanka di negara ini.

“Kita juga sedang berhubung dengan agensi berkaitan termasuk agensi tempatan dan antarabangsa untuk mengenal pasti rangkaian yang terlibat dalam kejadian terbabit,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 13 suspek ditahan susulan insiden pengeboman yang menyasarkan gereja dan beberapa hotel di negara terbabit.-UTUSAN ONLINE