Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, inisiatif-inisiatif itu termasuk Program ACES, Maker Market dan Pondok Perdana.

“Ini adalah usaha yang progresif memandangkan bilangan kolej komuniti semakin bertambah tahun demi tahun dan perlu kekal relevan kepada masyarakat untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya pada majlis pelancaran tiga inisiatif itu di sini hari ini.

Menurut Maszlee, menerusi Program ACES, perluasan akses pendidikan ke kolej komuniti diperkukuh dengan membangunkan beberapa program pengajian alternatif yang dilaksanakan di institusi terpilih.

Katanya, program itu terbuka kepada komuniti dan pelajar lepasan menengah melalui empat bentuk laluan baharu merangkumi elemen perantisan (apprenticeship), pensijilan profesional (professional certification), keusahawanan (entreprenuership) dan sijil kolej komuniti (persediaan).

“Saya percaya melalui empat laluan baharu ini, konsep ‘Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk semua dapat dihayati dan direalisasikan di kolej komuniti yang telah diangkat sebagai hab pembelajaran sepanjang hayat (PSH) seperti dipertanggungjawabkan melalui Memorandum Jemaah Menteri pada 2005,” katanya.

Inisiatif kedua jelas Maszlee, adalah ‘Maker Market’ melibatkan penubuhan ruang pembelajaran abad ke-21 berkonsepkan pasaran (market space).

Menurutnya, inisiatif itu merangkumi suatu ruang kerja kolaboratif dalam kolej komuniti yang membolehkan pengguna belajar melalui rekacipta serta berkolaborasi dengan komuniti dan industri.

“Inisiatif Pondok Perdana bertujuan memperkasa dan menambah nilai set kemahiran pelajar pondok melalui program yang lebih tersusun dan berstruktur.

“Bagi tujuan tersebut, Pertubuhan Pondok Perdana, sebuah pertubuh bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan program di institusi dinamakan Pondok Perdana telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan kolej komuniti sebagai pembekal bagi program kemahiran peringkat sijil dan diploma kepada pelajar-pelajar mereka,” katanya.

Sementara itu, Maszlee menjelaskan, kementerian akan mengorak langkah untuk mengubah stigma dan persepsi negatif terhadap TVET.

“Bagi kita, TVET atas namanya pun mungkin kita terpaksa ubah. Bila sebut TVET... sebut vokasional ini bukanlah sesuatu yang dilihat tinggi,” katanya. - UTUSAN ONLINE