Dengan dua pasukan tercorot akan tersingkir ke Liga Perdana musim depan. Kuala Lumpur dan PKNP FC masing-masing kini meraih 14 dan 13 mata daripada 17 perlawanan setakat ini, manakala Felda United FC yang berada dalam kedudukan terakhir daripada 12 pasukan, mengutip 12 mata menerusi 16 perlawanan.

Ketiga-tiga pasukan berkenaan harus berusaha keras dan meningkatkan prestasi masing-masing untuk terus kekal bersaing di saingan divisyen teratas Liga Malaysia itu, yang dijangka berakhir hujung bulan depan.

Bagi pasukan Felda United, Ketua jurulatihnya, Nidzam Jamil berkata mereka seolah-olah seperti memerlukan keajaiban kerana dijadual berdepan pasukan yang menduduki tempat kedua, Pahang, selain Perak, Selangor, Kuala Lumpur, PKNP FC dan Kedah dalam baki enam aksi terakhir liga.

Skuad ‘The Fighters’ juga akan berdepan Kedah pada 22 dan 30 Jun ini, dalam aksi separuh akhir Piala FA.

“Kita kena buat persiapan rapi dan kaji pasukan lawan apabila pasukan seperti Selangor dan Terengganu FC. Kita ada motivasi tinggi untuk bermain dengan baik menentang pasukan kuat, tetapi apabila berdepan pasukan yang sedang bergelut (mendapat kedudukan terbaik), prestasi kita menurun.

“Kita tidak boleh nak harapkan berdepan dengan pasukan kuat setiap minggu untuk meningkatkan motivasi pemain. Dalam bola sepak, kadang-kadang bermain dengan pasukan sedang bergelut paling sukar kerana mereka pun akan bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk elak penyingkiran,” katanya.

Nidzam juga berada dalam dilema apabila beberapa pemain importnya termasuk penyerang dari Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal dibelenggu masalah kecederaan.

“Kita juga tidak boleh terlalu naif dengan melepaskan gol mudah, dalam dua aksi sebelum ini kita melepaskan tiga gol daripada tendangan sudut. Tidak boleh terlalu budak-budak (ketika beraksi), kena betulkan sekarang,” katanya.

Sementara itu, Kuala Lumpur bakal berdepan Terengganu FC, Pahang, Felda United, JDT dan Perak, manakala PKNP FC akan menentang PKNS FC, Kedah, Melaka, Felda United dan Petaling Jaya City FC dalam baki lima aksi liga. - BERNAMA