Ahmad Zahid berkata, BN dan UMNO tidak gentar untuk bertanding di Rantau dan akan membuktikan bahawa parti keramat Melayu itu masih menjadi pilihan rakyat.

“Rantau ditakdirkan akan mengadakan PRK selepas mahkamah buat keputusan membatalkan kemenangan Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan).

“Ikut perundangan, Tok Mat boleh buat rayuan, tetapi saya minta beliau tidak buat rayuan. UMNO berani bertanding dan ini adalah kawasan kubu kuat UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perjumpaan khas Presiden dan kepimpinan tertinggi UMNO Malaysia bersama kepimpinan UMNO Bahagian Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut mengumumkan secara rasmi bahawa Mohamad Hasan adalah calon Barisan Nasional (BN) dan UMNO di PRK Rantau.

Sementara itu, Mohamad menyuarakan rasa terima kasih kepada Pas atas kesudian parti itu memberi lalauan kepada BN dan UMNO untuk bertanding di Rantau.

Katanya, Pas juga telah menyuarakan kesediaan untuk menurunkan jentera mereka membantu UMNO di PRK Rantau nanti.

“Saya amat suka cita dan terima kasih kepada Pas terutamanya Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE