Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

2 rakyat Malaysia diberkas terbabit penipuan bantuan Covid-19 di Australia

Kedua-dua rakyat Malaysia itu dilaporkan didakwa atas tuduhan berurusan dengan hasil jenayah selepas polis menggeledah sebuah rumah di barat Sydney, Australia pada Khamis.

SYDNEY: Dua rakyat Malaysia ditahan atas dakwaan terlibat dalam sindiket yang disyaki menipu kerajaan Australia hampir AUD500,000 (RM1.6 juta) menerusi skim bantuan Covid-19.

Polis Australia berkata, wanita berusia 34 tahun dan lelaki berusia 27 tahun itu terbabit dalam membuat tuntutan palsu bawah program Bayaran Bencana Covid-19 kerajaan melalui penciptaan identiti palsu, lapor Daily Mail.

Skim mereka terutamanya menyasarkan individu yang tidak dapat membuat tuntutan sendiri dalam program untuk membantu mereka yang terjejas pendapatan semasa wabak itu.

Kedua-dua rakyat Malaysia itu dilaporkan didakwa atas tuduhan berurusan dengan hasil jenayah selepas polis menggeledah sebuah rumah di barat Sydney pada Khamis.

Menurut polis, suspek mengiklankan “bantuan” mereka di media sosial semasa wabak, menawarkan perkhidmatan sebagai “ejen” untuk membantu menuntut bayaran daripada kerajaan.

“Pelanggan yang menggunakan ‘perkhidmatan’ dalam talian itu menyediakan dokumen pengenalan diri kepada ‘ejen’, malah beberapa individu dilaporkan membayar sehingga AUD1,000 untuk memudahkan tuntutan mereka,” menurut laporan itu.

Sejauh mana jangkauan sindiket itu di seluruh Australia masih belum ditentukan.

Menurut Daily Mail, siasatan terhadap dakwaan sindiket itu menyusuli laporan beberapa bayaran dituntut bawah identiti palsu, manakala yang lain dialihkan ke akaun bank penipu tanpa pengetahuan penerima sah.