Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

NGO mahu Anwar berjuang tanpa gentar untuk Palestin

Selain kerosakan bangunan, dianggarkan angka kematian meningkat melepasi 5,000 orang susulan serangan berterusan ke atas Gaza oleh Israel, dengan hampir separuh daripadanya kanak-kanak. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menyokong ketegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang lantang menyuarakan hak Palestin dan mengkritik negara barat yang bersikap hipokrit dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata seluruh rakyat Malaysia juga bangga dengan pendirian Anwar dan akan bersama menyuarakan isu Palestin tanpa gentar serta takut, sehingga hak Palestin dikembalikan.

“Kami menyokong ketegasan perdana menteri bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada ugutan. Malaysia harus berdaulat mempertahankan haknya untuk bersuara atas hujah prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan, serta berdasarkan undang-undang antarabangsa.

“Kami menyatakan dengan tegas bahawa jika tekanan sekatan dikenakan ke atas Malaysia, seluruh rakyat akan berdiri teguh di belakang perdana menteri. Kami akan bersama pendirian kerajaan dengan memastikan kedaulatan ekonomi tidak tergugat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi juga berkata rakyat negara ini harus menyatakan pendirian bersolidariti bersama Anwar dalam isu Palestin, selain menyarankan bahawa Malaysia tidak hanya bergantung kepada negara Barat.

Semalam, ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Anwar mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Menurutnya, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.