Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

‘Hak mutlak PM, jangan tekan’, Johari jawab desas-desus rombakan Jemaah Menteri

Naib Presiden Umno Johari Ghani berkata sebarang penyesuaian kepada pasukan pentadbiran akan mengambil masa.

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno Johari Ghani menegaskan keputusan sama ada Jemaah Menteri perlu dirombak atau tidak adalah sepenuhnya di tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau malah menyifatkan ia sebagai keputusan eksklusif perdana menteri, di sebalik desas-desus mengenai rombakan Jemaah Menteri mutakhir ini.

“Sama ada dibuat nak buat rombakan atau tidak itu hak kuasa mutlak beliau,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu selepas menyantuni Orang Asli berdekatan Kampung Sungai Gapoi, Pahang sempena PRK Pelangai.

Johari yang juga bekas menteri kewangan II menambah mana-mana pihak tidak boleh menekan perdana menteri berhubung rombakan itu, dengan cabaran ekonomi sejagat yang sedang dihadapi negara ketika ini.

“Kita berdepan dengan ekonomi global secara besar,” tegasnya, dan menambah sebarang penyesuaian kepada pasukan pentadbiran akan mengambil masa.

“Perdana menteri akan susun dia punya pasukan. Macam main bola, dia tak boleh main seorang,” katanya.

Anwar pada Rabu memaklumkan beliau masih sedang memikirkan tentang rombakan Jemaah Menteri, susulan ura-ura ia akan berlaku selepas PRN enam negeri pada Ogos.

Di sebalik ura-ura itu, baru-baru ini ketua lima kementerian diumumkan terlibat dalam beberapa pusingan kerja dan perlantikan baharu.