Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

PAS jawab gesaan KJ keluar ‘tempurung SG4’, kurang pendedahan antarabangsa

Ahmad Fadhli Shaari berkata PAS akan mengambil maklum balas Khairy Jamaluddin supaya parti itu meningkatkan lagi pendedahan di peringkat antarabangsa.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS menepis dakwaan parti itu ‘kurang terdedah’ di peringkat antarabangsa namun menerima nasihat bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin supaya keluar dari tempurung ‘state government four’ (SG4).

Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya sering menghadiri persidangan di Timur Tengah dan beberapa lokasi lain walaupun bukan atas nama kerajaan tetapi parti.

“Tetapi kadang-kala mungkin kita hadir ke peringkat antarabangsa tetapi maklumat itu tidak sampai kepada rakyat.

“Dan kita kurang dari sudut ketersampaian maklumat penglibatan kita menyebabkan rakyat tidak nampak penglibatan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam podcast Keluar Sekejap kelmarin yang melihat pendedahan kalangan pemimpin PAS di peringkat antarabangsa masih tidak mencukupi.

Khairy yang juga Felo di Yusof Ishak Institute, Singapura berkata institut itu meminta PAS berinteraksi dengan mereka tetapi tidak berlaku, malah dakwanya ada seorang pemimpin parti itu menolak jemputan diaturnya untuk satu sesi pada tahun depan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan PAS keluar dari bawah tempurung SG4 untuk membuktikan kemampuan parti itu mentadbir pada masa depan dan meningkatkan penerimaan di peringkat antarabangsa.

SG4 merujuk kepada empat negeri ditadbir PAS iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis.

Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata pihaknya mengalu-alukan segala teguran membina dari pihak luar termasuk Khairy dan bersedia melakukan penambahbaikan.

“Pertama kita kena pertingkat penglibatan kita di peringkat antarabangsa. Kedua kita kena mendedahkan maklumat itu dan dia perlu disebarkan kepada umum.

“Hari ini bukan setakat kita perlu dilihat baik tetapi kita kena menampakkan orang kita juga baik,” katanya.