Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

KDN pertimbang lebih 9,000 permohonan kewarganegaraan

Saifuddin Nasution (tengah) menyampaikan surat keputusan permohonan kewarganegaraan kepada penerima dalam program KDN di Bandar Tun Razak. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,539 permohonan kewarganegaraan sedang dipertimbang oleh kerajaan setakat September tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kementerian komited mempertimbang setiap permohonan secara adil dan saksama, dan menegaskan pemberian status kewarganegaraan hak eksklusif kerajaan yang tidak ditawar atau diberikan sewenang-wenangnya.

Saifuddin Nasution juga berkata kerajaan telah menyiapkan draf Pindaan Bahagian III Perlembagaan berhubung kewarganegaraan dan hasil cadangan pindaan akan dibawa kepada Majlis Raja-raja bulan ini.

“Pada hari ini juga, saya turut menyerahkan surat keputusan permohonan kewarganegaraan kepada 19 pemohon,” katanya selepas menghadiri program KDN di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak.

Saifuddin berkata 19 individu itu terdiri daripada dua kategori, iaitu anak angkat dan penduduk berstatus naturalisasi.

Mengulas proses pindaan Perlembagaan berhubung kewarganegaraan, beliau berkata perkara itu berjalan lancar dan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh masih berterusan.

“Input terus kami kumpul dan berharap pada sesi sidang Parlimen yang akan datang ini, kami dapat peluang membentangkan perkara ini.

“Di bawah KDN, ada dua pindaan yang kami akan bentangkan, iaitu berkaitan kewarganegaraan dan akta dadah di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan,” katanya.

Mengenai Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK), beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan itu.

Katanya pemberian GPPK akan memanfaatkan 2,000 persatuan penduduk berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dengan jumlah pemberian sebanyak RM10,000 bagi yang layak.

“Pemberian GPPK ini bertujuan memperkasa peranan persatuan dalam meningkatkan penglibatan dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan untuk keselamatan komuniti dan bagi persediaan menghadapi bencana.

“Sehingga September lepas, sebanyak 1,635 permohonan dipertimbang dan pada hari ini, GPPK diserahkan kepada tujuh persatuan.”

Beliau berkata tarikh akhir permohonan GPPK dilanjutkan daripada 30 Sept kepada 31 Okt.