Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

4 teras perjuangan GRS

Hajiji Noor (tengah) melancarkan GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor mengumumkan empat teras perjuangan gabungan itu yang secara rasmi menjadi entiti politik baharu negeri ini.

Katanya, empat teras perjuangan itu ialah Sabah diutamakan, Sabah melangkah ke hadapan, Sabah maju jaya dan Sabah yang bersatu.

“Sabah diutamakan adalah teras perjuangan yang melibatkan matlamat serampang dua mata, iaitu bukan sahaja kita meletakkan hak dan kepentingan Sabah pada unjuran teratas, tetapi juga misi untuk menganjak status Sabah pada kedudukan teratas dalam pelbagai aspek pembangunan.

“Teras Sabah diutamakan akan menjadi pegangan kita dalam menyusul dengan teliti setiap perkara dalam siri perundingan yang sedang rancak berjalan melalui pelbagai platform dan diselaraskan bawah Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63),” katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili, Presiden Star Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Yong Teck Lee dan Presiden Usno Pandikar Amin Mulia.

Hajiji yang juga ketua menteri berkata, teras perjuangan kedua iaitu Sabah melangkah ke hadapan adalah penting untuk membentuk pemikiran, menghalakan perspektif dan memimpin tindakan secara strategik dan berfokus dalam membawa Sabah melangkah ke hadapan serta membina masa depan negeri.

Katanya, perjuangan itu adalah satu perjalanan panjang yang perlu diwarisi daripada barisan pelopor pejuang terdahulu.

“Kita berdiri di atas amanah dan pertanggungjawaban itu, kita harus memastikan setiap langkah yang diatur memacu kita ke hadapan menuju destinasi kemajuan dan kemakmuran,” katanya.

Beliau berkata, teras perjuangan ketiga adalah Sabah maju jaya yang dimaknai dengan kesunggguhan dan komitmen untuk melaksanakan serta menjayakan Agenda Sayangi Sabah melalui pelan pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita sedar, melihat kepada penerimaan rakyat kepada hala tuju yang bersandarkan kepada slogan jata negeri ini, ada pihak yang cuba mewujudkan persepsi negatif dengan mengetengahkan isu-isu tertentu untuk menafikan signifikasi Hala Tuju SMJ.

“Realitinya, saya yakin mereka menyedari bahawa isu-isu itu adalah juga legasi yang mereka sendiri gagal tangani, kita perlu istiqamah dan tidak membiarkan tindakan bermotifkan kepentingan politik sempit ini membawa kita lari dari landasan serta fokus dalam menggerakkan pelan pembangunan ini,” katanya.

Bergerak seiring

Sementara itu, Hajiji berkata semua teras berkenaan perlu bergerak seiring bersama perjuangan Sabah bersatu iaitu teras keempat dalam perjuangan GRS.

Katanya, sejarah panjang politik Sabah sewajarnya membawa teladan dan menginsafkan semua pihak.

“Saya tidak berniat untuk membawa semua untuk mengambil sikap apologetik kerana saya yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya.

“Apa yang jauh lebih penting adalah pengalaman itu mengajar kita untuk bangkit memperbaiki keadaan dengan strategi baharu dan pendekatan segar melalui formula tempatan yang lebih menepati citra perjuangan akar umbi kita di Sabah.

“Ramai di kalangan kita adalah sebahagian daripada legasi politik Sabah yang membawa di mana kita berada pada hari ini.

“Cukup-cukuplah kita berpecah dan dipecahkan, jangan biar perbezaan melebarkan jurang antara kita dan atas keinsafan itu, GRS seharusnya membawa citra kesatuan, kita bersyukur kerana titik persamaan itu membawa kita kepada permuafakatan dan hari ini GRS telah didaftarkan secara rasmi dengan dengan keanggotaan lima komponen parti,” katanya.