Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

8 maut, 6 hilang dalam tragedi hujan lebat di Korea

Hujan lebat melebihi sejam di daerah Dongjak di Seoul mencecah 141.5mm, menandakan angka yang tertinggi sejak Ogos 1942. (Gambar AP)

SEOUL: Lapan terkorban dan enam lagi hilang akibat hujan lebat yang melanda wilayah metropolitan Korea Selatan, kata Ibu Pejabat Pencegahan Bencana dan Keselamatan Pusat pada Selasa, lapor Xinhua.

Hujan melebihi 100mm sejam melanda ibu kota Seoul, bandar pelabuhan barat Incheon dan wilayah Gyeonggi, yang bersebelahan dengan Seoul, pada Isnin malam.

Curahan hujan lebat melebihi sejam di daerah Dongjak di Seoul mencecah 141.5mm pada satu ketika, menandakan angka yang tertinggi sejak Ogos 1942.

Hujan sehingga 300mm diramalkan berlaku di wilayah metropolitan hingga Rabu.

Hujan lebat turut mengakibatkan jalan kereta api di Seoul dan Incheon ditenggelami banjir dan perkhidmatan di beberapa laluan kereta api bawah tanah dihentikan sementara.

Sebahagian daripada lebuh raya, jalan raya, jalan raya bawah tanah dan tempat letak kereta di tepi sungai telah disekat, dan aktiviti mendaki di lima gunung taman negara ditutup untuk keselamatan.

Lapan laluan feri penumpang juga tidak beroperasi.

Kementerian dalam negeri telah meningkatkan tahap pemantauan banjir daripada “berjaga-jaga” kepada “serius”.