Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Bung arah semua bahagian Umno di Sabah kemuka cadangan calon PRU15

Bung Moktar Radin (dua dari kiri) mempengerusikan mesyuarat Umno Sabah di bangunan parti itu, di Kota Kinabalu, malam ini.

KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengarahkan setiap bahagian parti itu di Sabah supaya segera mengemukakan lima calon yang berpotensi untuk diketengahkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, senarai berkenaan perlu dihantar segera kepada badan perhubungan Umno negeri bagi membolehkan penilaian awal dibuat olah satu jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan.

“Senarai berkenaan perlu dikemukakan segera, sama ada individu yang dicadangkan mempunyai kedudukan dalam bahagian atau sebaliknya yang penting ianya berwibawa, memenuhi kriteria dan boleh diterima oleh rakyat.

”Matlamat kita pada PRU15 ini adalah memenangi setiap kerusi yang ditandingi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Umno Sabah di bangunan parti itu, malam ini.

Bung yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, setiap nama yang dikemukakan akan turut dinilai berdasarkan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi selain hasil pemantauan oleh pasukan khas yang ditubuhkan.

Katanya, parti itu akan menggunakan konsep WALI (winnable, acceptable, likeable) dalam menentukan siapa yang menjadi layak calon bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

”Personaliti calon merupakan elemen utama yang dilihat oleh rakyat dan ianya harus menjadi kriteria utama untuk Umno dan BN.

“Kebolehan untuk menang juga harus menjadi keutamaan walaupun yang dicalonkan bukan penjawat utama di peringkat bahagian, seseorang calon itu mungkin boleh diterima oleh rakyat tetapi belum tentu dia disukai, jadi tiga elemen WALI ini penting dalam menentukan kelayakan seseorang untuk menjadi calon,” katanya.

Sementara itu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyeru semua bahagian dan cawangan Umno di Sabah supaya mengemaskini daftar pemilih termasuk mengenal pasti pengundi baharu khususnya golongan muda.

Beliau turut mengarahkan jentera Umno dan BN supaya terus aktif menawan hati dan pemikiran pengundi di kawasan masing-masing.

“Pastikan daftar pemilih dan bilik gerakan di setiap pusat daerah mengundi (PDM) setiap bahagian dan cawangan telah dikemaskini dan mereka perlu mengadakan ‘simulasi dry run’ bagi mengenal pasti kekuatan parti.

“Saya merasakan seteru politik kita telah melipat gandakan kerja-kerja mereka dan saya yakin kalau usaha-usaha kita melebihi daripada seteru politik kita, maka kawasan-kawasan tumpuan akan dapat kita menangi kesemuanya,” katanya.