Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Hishammuddin dikritik kerana elak debat berhubung isu kebajikan pesara tentera

Ratusan pesara tentera mengadakan perhimpunan aman di Tugu Negara, Isnin lalu bagi menuntut supaya kadar dan bayaran pencen disemak semula. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dikritik kerana mengelak untuk berdebat mengenai isu kebajikan pesara tentera dan memberi alasan “tidak masuk akal”.

Pesara tentera Wong Ang Peng, 67, berkata Hishammuddin “bercakap bukan-bukan” dalam menolak gesaan untuk berdebat itu.

“Beliau harus memberi perhatian kepada apa sahaja yang berkaitan dengan isu pencen pesara,” katanya kepada FMT. “Mereka (pesara) ibarat anak-anak. Mereka adalah tanggungjawabnya (Hishammuddin).

“Beliau tidak boleh kata jabatan atau kementerian lain terlibat. Beliau perlu utarakan rungutan veteran, walaupun kementerian lain seperti Kementerian Kewangan terlibat.”

Terdahulu, Hishammuddin dilaporkan menolak gesaan seorang pesara tentera untuk berdebat mengenai isu pencen dan kebajikan, dengan berkata perdebatan itu melibatkan pelbagai kementerian kerana ia dikaitkan dengan kewangan negara.

Wong mengakui Kementerian Pertahanan bukan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab terhadap kebajikan pesara, tetapi berkata Hishammuddin tidak sepatutnya mengetepikan isu itu kerana masalah itu sudah lama berlarutan.

“Isu pencen telah diketengahkan sejak 10 hingga 15 tahun, dan seorang demi seorang menteri memberi kata-kata manis dan janji kosong. Jadi ia berlarutan sehingga mereka melepasi had kesabaran mereka (pesara) minggu lepas,” katanya merujuk kepada perhimpunan yang diadakan di Tugu Negara, Isnin lalu.

Wong, yang kini seorang pakar ekonomi dan penyelidik kesihatan, berkata kementerian itu tidak boleh mengabaikan perdebatan itu kerana kebanyakan pesara hidup dalam kesempitan kerana wang pencen diterima yang tidak seberapa.

Pesara tentera laut Rafique Ali Ahmad Nordin, 63, berkata jawapan Hishammudin menunjukkan kementeriannya kurang minat dengan kebajikan pesara.

“Mereka malah tidak berniat untuk bercakap dengan kami, walaupun mereka sendiri yang mencetuskan masalah,” katanya kepada FMT.

Katanya, pesara sudah jelas dengan apa yang mereka mahu – kajian semula skim pencen mereka, dan pembayaran pencen untuk tentera yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun.

Buat masa ini, hanya pesara yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 21 tahun layak mendapat pencen.

Tentera yang bersara sebelum 2003 juga akan menerima pencen yang jauh lebih kecil di bawah skim pencen sebelumnya berbanding mereka yang bersara kemudian.