Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Isu bilik sejuk beku boleh dielak jika perancangan betul, kata bekas pengerusi LKIM

Terdahulu, LKIM dilaporkan berkata ketiadaan simpanan sejuk beku di kilangnya menyumbang kepada kenaikan harga ikan.

BUKIT MERTAJAM: Kekurangan bekalan dan kenaikan harga ikan ketika ini sejurus krisis bekalan ayam boleh dielakkan jika kerajaan membuat perancangan dengan betul.

Bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil, berkata alasan bilik sejuk beku di pusat pendaratan ikan yang tidak berfungsi tidak boleh diterima sama sekali kerana perkara itu boleh dielakkan.

LKIM dilaporkan berkata, bilik sejuk beku tidak berfungsi disebabkan “masalah birokrasi”.

Faiz berkata, penjelasan sedemikian tidak wajar bagi organisasi itu kerana kerajaan perlu sedar bahawa musim perayaan mendorong kepada permintaan tinggi.

Faiz Fadzil.

“Mereka gagal membuat jangkaan permintaan ketika musim perayaan. Bekalan ikan sepatutnya disimpan lebih awal supaya mencukupi dan boleh menstabilkan harga.

“Terkini, selepas berdepan krisis bekalan ayam, rakyat Malaysia terpaksa melupakan satu lagi sumber protein utama dalam diet mereka,” kata wakil rakyat Amanah itu kepada pemberita dalam satu majlis hari ini.

Faiz yang juga ADUN Permatang Pasir berkata, LKIM sepatutnya mengatasi perkara itu lebih awal untuk memastikan semua rantaian bekalan seperti bilik sejuk beku telah tersedia.

Beliau menambah, bilik sejuk diperlukan supaya nelayan dapat memastikan hasil tangkapan mereka sentiasa segar dan bekalan ikan dapat disimpan untuk permintaan masa depan.

“Masalah birokrasi adalah kelemahan kerajaan sendiri, sebagai kerajaan mereka perlu saling bekerjasama membuat dasar dan juga pelaksanaan dasar.

“Jadi bagi saya, LKIM perlu membuat keputusan dan komitmen yang betul-betul tinggi untuk memastikan masalah ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi LKIM, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, tiada simpanan sejuk beku di kilang LKIM menyumbang kepada kenaikan harga ikan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, ahli Parlimen Umno itu berkata, beberapa bilik sejuk beku yang boleh menyimpan sehingga 1,000 tan ikan tidak boleh digunakan. Katanya, ia mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk menyelesaikan isu bekalan ikan.

Sambil menyifatkan keadaan itu sebagai “menyedihkan”, Syed Abu Hussin berkata, arahan telah dibuat berulang kali untuk menyediakan bilik sejuk ini terbantut disebabkan “birokrasi kerajaan”.

Sepanjang minggu lalu, harga ikan dilaporkan meningkat 20-40%.