Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Jangan guna propaganda, biar JPP kemuka bukti, kata Amirudin

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menolak tindakan pembuktian menerusi propaganda tanpa melalui JPP terlebih dulu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dakwaan keraguan terhadap keputusan Pemilihan PKR hanya dapat ditentukan menerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan bukannya dibuktikan dengan propaganda, kata Ketua PKR Selangor Amirudin Shari.

Katanya, ia termasuk dakwaan keraguan berhubung keputusan jawatan ketua bahagian Gombak ditandinginya, pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.

Amirudin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada JPP PKR.

“Buktikan (dakwaan). Saya tidak tahu kerana saya tidak terbabit dalam jawatankuasa sebab saya antara yang bertanding.

“Tidak adil bagi saya untuk bercakap benda ini secara teknikalnya betul atau tidak. ‘Let the JPP verified’. Biar mereka tunjukkan bukti. Janganlah buktikan dengan propaganda. Ia harus dibuktikan dalam jawatankuasa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Akhir bulan lalu, calon ketua bahagian Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mendakwa terdapat keraguan terhadap keputusan pemilihan parti di cabang itu dan mahu audit forensik dilakukan.

Amirudin mendapat 1,858 undi menewaskan Farhash yang memperoleh 1,215 undi.

“Agak ‘surprise’ juga menang besar. Pada peringkat kebangsaan dan di Gombak. Dapat mandat yang selesa untuk meneruskan perjuangan parti. Ini menunjukkan kepercayaan orang Gombak lebih majoriti kepada saya,” katanya.