Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Jangan sentuh lagi simpanan KWSP, kerajaan diseru cari pendekatan lain tangani kos sara hidup

Kerajaan perlu mencari pendekatan lain dalam menangani isu rantaian bekalan makanan asasi rakyat, kata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak wajar disentuh lagi kerana ia tidak boleh dijadikan satu-satunya cara untuk menangani kos sara hidup yang meningkat secara mendadak ketika ini.

Beliau yang merupakan antara individu paling lantang memperjuangkan isu pengeluaran khas itu berkata, kerajaan sebaliknya perlu mencari pendekatan lain termasuk campur tangan dalam menangani isu rantaian bekalan makanan asasi rakyat.

“Ramai yang minta diperjuangkan sekali lagi isu KWSP. Waktu saya berjumpa untuk merayu kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz sebelum ini, saya dah berhujah bahawa pengeluaran RM10,000 KWSP dahulu adalah yang terakhir bagi memenuhi tuntutan rakyat susah untuk memulakan kehidupan baharu pasca pandemik.

“Justeru, pengeluaran KWSP tidak boleh dijadikan satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu harga barang dan kos sara hidup yang meningkat mendadak ketika ini,” katanya di Facebook.

Pada 16 Mac lalu, kerajaan bersetuju membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Ismail dipetik berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Dalam pada itu, Asyraf turut menggesa supaya kerenah birokrasi di peringkat bawahan diselesaikan segera bagi menangani impak kos sara hidup yang semakin tinggi khususnya dalam kalangan keluarga B40.

“Ia bagi memastikan segala bantuan kepada rakyat termasuk subsidi dapat disampaikan secara berkesan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.