Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan turun 10%

Kes positif Covid-19 masih dipantau melalui CAC di seluruh negara, dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat itu menurun sebanyak 8.7%, menurut KKM. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 10% pada minggu epidemiologi (ME) ke-23, yang bermula dari 5 hingga 11 Jun 2022 berbanding ME ke-22.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 20% dari ME pertama sehingga ME ke-23.

“Jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk pada ME ke-23 berbanding ME ke-22 meningkat sebanyak 33.3% manakala untuk kategori tiga, empat, dan lima meningkat sebanyak 9%.

“Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti Covid-19 meningkat sebanyak 8% pada ME ke-23 berbanding ME-22, dengan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 17%.

“Bagi katil Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) meningkat sebanyak 200% dan jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 20% setakat ME ke-23,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata kes-kes positif Covid-19 masih dipantau melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara, dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat itu telah menurun sebanyak 8.7% antara ME ke-22 dan ME-23.

“Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 0.5% manakala bilangan kes dirujuk CAC ke PKRC atau hospital telah meningkat sebanyak 51.9%,” katanya.

Katanya, kumulatif kes baharu adalah sebanyak 4,524,727 kes dengan kes aktif sebanyak 21,591 kes dicatat setakat 11 Jun, dengan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,466,305 kes dan kes kematian sebanyak 35,711 kes.

“Kumulatif kes kluster setakat ini ialah sebanyak 7,015 dengan kluster aktif sebanyak 4 kluster dilaporkan setakat 11 Jun,” katanya.

Hisham berkata bilangan kes sembuh pada ME ke-23 ialah 10,806 kes berbanding 13,797 kes pada ME ke-22 iaitu menurun sebanyak 21.7% manakala kes baharu pada ME ke-23 pula ialah 11,096 kes berbanding 11,052 kes pada ME ke-22, meningkat sebanyak 0.4%.

Katanya, bilangan kes tempatan dalam tempoh berkenaan pula meningkat sebanyak 0.5% iaitu dari 11,022 kes kepada 11,076 kes, bilangan kes import menurun sebanyak 33.3% iaitu 30 kes kepada 20 kes serta bilangan kes kematian menurun sebanyak 3.8% iaitu 26 kes kepada 25 kes.

“Bilangan kes aktif pada ME ke-23 berbanding ME ke-22 menurun sebanyak 5.5%, serta purata nilai RT meningkat sebanyak 5.5% pada tempoh yang sama,” katanya.